Sampai bela dan tidur dengan ular sawa - Umie Aida

 

PELAKON terkenal, Datin Seri Umie Aida mengakui bersahabat dengan ular sawa batik selama dua bulan bagi menghidupkan watak pengamal ilmu hitam bernama Diana Dahlan dalam filem Dukun.

Umie, 44, berkata, perkara itu bukan sesuatu yang mudah apatah lagi sanggup tidur dengan ular itu.

“Sejujurnya, bukan mudah melakonkan watak ini. Saya bertanya kepada pelakon senior seperti Fauziah Nawi macam mana nak hidupkan watak dukun. Dia mencadangkan saya bela dan tidur dengan ular.

“Jadi saya ambil keputusan bela ular sawa batik. Malah sepanjang dua bulan, saya tidur dengan ular berkenaan. Dari situ saya mengkaji segala pergerakan dan gerakan mata ular.

“Dari situ saya belajar dan masukkan dalam watak ini. Bagi saya, cara ini memang membantu terutama menjayakan babak dalam penjara dan bacaan mantera,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Umie, meski watak itu didakwa segelintir pihak diinspirasikan daripada kisah Mona Fandey, dia tidak mahu ambil pusing.

“Terpulang apa persepsi orang mengenai watak ini sama ada ingin mengaitkan dengan mana-mana individu. Saya tidak boleh halang orang daripada terus bercakap. Apa yang penting, saya menghidupkan watak ini dengan cara tersendiri.

“Dalam masa sama, kenyataan berkenaan kaitan watak ini dengan mana-mana pihak bukan daripada saya. Saya hanya cakap, saya bersahabat dengan ular,” katanya.

Selain Umie, filem arahan Dain Said itu turut menampilkan pelakon hebat lain seperti Faizal Hussein, Namron, Adlin Aman Ramli, Elyana, Soffi Jikan dan ramai lagi.

Filem terbitan Astro Shaw itu akan ditayangkan di seluruh negara dan Brunei esok.

Terdahulu, filem menjalani penggambaran pada 2005 dan sepatutnya ditayangkan pada Disember 2006 itu dikatakan diharamkan tayangannya ekoran masalah tertentu.

Sumber : hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *